Mukadimah

Assalamualaikum dan salam sejahtera, pembuka bicara. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan beribu - ribu terima kasih kerana sudi mengunjungi blog saya. Tak kenal maka tak kenal. Jadi saya perkenalkan diri saya: Ariff Mahmood Ariffin. Di ruangan ini, sudi kiranya saya berkongsi dengan anda semua mengenai ilmu agama Islam, perasaan strawberinya hati, karya imaginasiku, dan secebis pengalaman. Dan laman web ini, akan dikemaskini setiap hari Jumaat untuk berkongsi ilmu, topik dan perkara yag berlainan setiap minggu. Selain itu, di ruangan ini juga adalah tempat kita berkomunikasi, berinteraksi. Jadi, apa tunggu lagi, Jom kita serbu laman web ini... ahhak

Tasbih

24 Julai 09

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang mengunjungi nawaitudihatiku...

Alhamdulillah bertemu lagi kita pada minggu yang baru ini dan masih diberi peluang untuk merasai udara ciptaan Allah SWT... syukur ke atasNya.

Baiklah pada minggu ini, saya masih bingung untuk mencari ilmu untuk dikongsikan bersama anda semua. Jadi saya memilih tajuk "Tasbih" untuk berkongsi maklumat dengan anda.

Untuk pengetahuan semua, Tasbih adalah seutas tali manik yang diikat sekali dengan pemegangnya. Maniknya pula biasanya diperbuat dengan menggunakan kayu kokka, batang kayu Zaitun, atau manik - manik dari jenis batu yang berwarna.

Tasbih bagi orang Islam amat tinggi nilai penggunaannya sebagai penghitung jumlah zikir sama ada selepas selesai bersolat atau di luar waktu solat. Kalimah yang selalu diamalkan ialah SubhanAllah, Alhamdulillah dan AllahuAkbar.

Jumlah maniknya ialah 33, 99 atau 100 biji. Tasbih bagi orang melayu dikaitkan kepada mereka yang tidak putus - putus ingatannya kepada Allah SWT, sebagai elemen pelengkap dalam beribadah.

Tasbih bukan sahaja digunakan oleh penganut Islam, malah turut digunakan oleh penganut yang lain seperti kristian, bahai, hindu, buddha dan sikh. Tasbih kristian dikenali dalam bahasa inggeris sebagai 'rosary' atau 'rosary beads'. Jumlah maniknya 200 biji, di ataskepala tasbih ini biasanya diikat dengan lambang salib. Tasbih buddha pula dipanggil 'mala' dan saiznya lebih besar dan digunakan oleh sami di Wat (kuil) atau dimana sahaja. Jumlah manik tasbih penganut agama buddha biasanya boleh dibahagi dengan 108 biji.

Itu sahaja maklumat mengenai naklumat atau ilmu yang dapat dikongsi pada minggu ini. InsyaAllah beerjumpa lagi di minggu hadapan. Assalamualaikum.

Adab - adab membaca 'Al - Quran'

17 Julai 09
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung blog nawaitudihatiku.

Untuk minggu ini, ingin saya berkongsi ilmu mengenai 'Adab - abad membaca AL - QURAN'. Kenapa saya pilih tajuk ini? kerana AL - QURAN adalah kitab bagi semua umat Islam dan rujukan bagi umat Islam itu sendiri yang merangkumi semua aspek kehidupan kita.

Al - Quran hendaklah dibaca dengan beradab dan sopan santun kerana ketika membacanya, kita sedang berhadapan dengan ALLAH SWT. Membaca Al - Quran bererti kita membaca kalimah - kalimah Allah. Jangan sesekali membaca Al - Quran secara melulu.

Ulama telah menetapkan beberapa cara yang elok ketika membaca Al - Quran.

1. Hendaklah berwudhuk. Nabi SAW tidak gemar menyebut nama Allah atau berzikir melainkan dengan berwudhuk.

2. Hendaklah kita duduk di tempat yang bersih dan lebih afdalnya ialah di dalam masjid dengan syarat bacaan tidak mengganggu orang lain yang sedang solat.

3. Hendaklah duduk menghadap kiblat dengan menundukkan kepala, khusyuk, diam dan ikhlas.

4. Hendaklah terlebih dahulu mengosok gigi.

5. Hendaklah dimulai dengan membaca Ta'awwuz kemudian disusuli dengan Basmalah.

6. Hendaklah kita membaca dengan tertib.

7. Sunat membaca dengan memahami dan merenungkan makna Al - Quran.

8. Menangisi atau seolah - olah menangisi sewaktu membaca Al - Quran sebagai tanda insaf dan khusyuk. Sedar akan isinya dan suruhan serta larangannya.

9. Sunat mengelokkan suara ketika membaca Al - Quran.

10. Sunat kita mendengar orang membaca Al -Quran dan meninggalkan percakapan yang sia - sia.

Itulah ilmu kita pada minggu ini, harapan saya agar kita semua dapat mengamalkan adab ini. InsyaALLAH.

Semoga kita dapat berjumpa lagi di minggu hadapan, InsyaALLAH. Ingatlah semua yang baik itu datangnya dari Allah. Assalamualaikum.

Malaikat


10 Julai 09

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung blog nawaitudihatiku...

Pertama sekali, ingin saya memohon maaf ke atas salah dan silap saya iaitu tidak mengemaskini blog ini... selama beberapa minggu saya tidak mengemaskini blog ini... ini disebabkan saya mengalami beberapa ujian mahupun cabaran yang tidak mengizinkan saya mengemaskini blog ini... Maaf sekali lagi...

Baiklah, pada minggu ini ingin saya berkongsi sedikit ilmu mengenai tajuk minggu ini "Malaikat".

Malaikat ialah makhluk di alam ghaib dicipta oleh Allah, ianya diciptakan dari Nur (cahaya). Ia dicipta sebelum kewujudan Nabi Adam A.S. lagi, dikhabarkan diperintahkan oleh Allah sebagai pengambil tanah acuan mencipta Nabi Adam A.S.

Malaikat ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tidak boleh dirasa atau disentuh, Malaikat tidak berjantina, tidak bersuami atau beristeri, tidak beribu atau berbapa dan tidak beranak. Mereka tidak tidur dan tidak makan serta tidak minum.

Malaikat ialah makhluk Allah yang taat menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah. Malaikat juga diberikan tugas untuk mencatit, memantau, memerhatikan perbuatan Manusia di muka bumi ini, ada Malaikat yang mencatat perbuatan Manusia yang bertentangan dan ada Malaikat yang mencatit perbuatan Manusia yang patuh pada peraturan yang ditetapkan oleh Allah.

Mempercayai adanya Malaikat adalah termasuk dalam rukun iman, Malaikat menghuni di langit dan bumi, bermula dari langit yang pertama sehinggalah ke langit yang ketujuh dan seterusnya ke Sidratul Muntaha. Oleh kerana itu, langit dipanggil alam Malakut kerana Malaikat menjadi penghuninya. Iblis, syaitan dan jin tidak tinggal di alam Malakut (langit) kerana ingkar kepada perintah Allah dan diusir ke bumi.

Demikianlah Allah menjadikan Malaikat itu untuk membuktikan kekuasaanNya dan sekaligus menguji tahap kepercayaan dan keimanan Manusia terhadap segala rukun dan syarat serta SyariatNya.

Berakhirlah sudah ilmu yang dapat dikongsi pada minggu ini. Jumpa lagi pada minggu hadapan. InsyaALLAH... Ingatlah semua yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T... Assalamualaikum.

Budayakan Amalan Membaca

19 Jun 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada kesemua pengunjung blog ini yang masih setia.

Baiklah pada minggu ini kita akan berbicarakan mengenai 'Budayakan Amalan Membaca'. Saya nak tanya pada anda... Anda suka membaca? :). Saya pula suka atau tak? saya taklah suka membaca tetapi perkara - perkara yang dapat memberikan manfaat, InsyaALLAH saya membacanya.

Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam pembangunan diri dan alam seluruhnya. Tuntutan pertama dan utama terhadap manusia ialah saranan menuntut ilmu kerana ilmu adalah merupakan asas pemikiran dan pumbuka minda. Ini diperkukuhkan melalui wahyu pertama yang diterima Rasulullah S.A.W. bermaksud:

(Wahai Muhammad) Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk). Dia menciptakan manusia dari segumpal darah beku. Bacalah dengan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. (Surah Al - 'Alaq: 1 - 5)

Antara intisari ayat di atas ialah ilmu dapat mengubah keadaan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya.

Imam Al - Qurtubi menjelaskan wahyu pertama adalah perintah Allah S.W.T. yang ditujukan kepada Baginda Rasulullah S.A.W. dan umat manusia seluruhnya.

Membaca merupakan suatu proses untuk memperolehi ilmu dan maklumat, melahirkan masyarakat yang berilmu dan mewujudkan budaya membaca.

Untuk mewujudkan masyarakat yang mengamalkan budaya membaca, bukanlah sesuatu yang mudah. Berbagai pendekatan yang boleh digunakan dalam melahirkan masyarakat yang membaca. Diantaranya ialah: 1. Kesedaran mengenai kelebihan membaca. 2. Mewujudkan suasana yang boleh mendorong tabiat membaca. 3. Mengerakkan penulisan buku ilmiah yang berkualiti. 4. Kerjasama dari semua pihak dalam usaha promosi kempen membaca.

Inilah sedikit sebanyak ilmu yang dapat saya curahkan dan dikongsi bersama. Harapan saya agar semua orang dan juga saya dapat mengamalkan budaya membaca serta diterapkan dalam hati kita dan juga orang disekeliling kita.

Akhir kata, Minta maaf dan terima kasih daripada saya, yang buruk datangnya daripada saya dan yang baik datangnya dari Allah S.W.T. InsyaALLAH jumpa lagi di minggu hadapan Assalamualaikum.

Puasa Sunat Isnin & Khamis

12 Jun 09

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang sudi meluangkan masa mengunjungi blog saya ini.

Baiklah, tajuk kita pada minggu ini tak lain tak bukan "Puasa Sunat Isnin & Khamis". Mungkin anda tertanya - tanya kenapa tajuk ini? Memang betul bulan puasa lambat lagi, tetapi tidak salah kiranya kalau kita sudah mula beramal untuk berpuasa. Ini kerana kita telahpun melatih diri kita untuk menghadapi bulan Ramadhan.

Puasa Sunat ini bertujuan untuk menghampirkan diri kita kepada Allah dengan mengerjakan ibadat - ibadat yang bukan Fardhu. Hal ini bersandarkan Hadith "Daripada Abu Sa'id R.A. katanya "Aku mendengar Nabi Muhammad S.A.W bersabda sesiapa yang berpuasa sehari semata - mata kerana Allah akan menjauhkan dirinya daripada api neraka selama 70 tahun." (Riwayat Al - Bukhari dan Muslim).

Itulah ganjaran yang akan diberikan Allah kepada kita sekiranya kita berpuasa kerana Allah. Waallahualam.

Puasa Sunat juga akan meningkatkan pengabdian dan pendampingan diri kepada Allah S.W.T. Puasa Sunat Isnin & Khamis memang digalakkan oleh Rasulullah S.A.W . Daripada Aishah R.A.H katanya, "Rasulullah S.A.W mengambil berat tentang puasa hari isnin dan khamis" (Hadith Riwayat At - Tirmizi).

Hadith lain ada menyebutkan Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda "Semua amalan akan dipersembahkan pada hari isnin dan khamis. Justeru itu aku ingin amalanku dipersembahkan ketika aku sedang berpuasa" (Hadith Riwayat Al - Bukhari dan Muslim).

Itulah serba sedikit mengenai puasa sunat, tidak ada salahnya kalau kita berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis. Kita juga dapat menjaga kesihatan dan juga badan kita. Betul tak? :) Selain itu, kita juga dapat berjimat cermat.

Tetapi Makruh Puasa kita pada hari Jumaat sahaja tanpa digandingkan dengan hari - hari lain, ini bersandarkan Hadith: Nabi S.A.W bersabda "Jangan sesiapa pun di kalangan kamu berpuasa pada hari Jumaat kecuali berpuasalah juga pada hari sebelumnya atau selepasnya."

Baiklah itu sahaja ilmu pada minggu ini yang saya dapat kongsikan dengan anda semua. Semoga kita semua dapat manfaat dan juga dapat mengamalkannya.

Akhir sekali, saya memohon maaf sekiranya ada salah silap dan yang buruk itu datangnya dari saya dan yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T. Jumpa lagi pada minggu hadapan, InsyaALLAH. Assalamualaikum.


Mulakan Kerja Di Awal Pagi

5 Jun 2009


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua...

Alhamdulillah dapat lagi kita berjumpa dan masih lagi dapat menghirup udara segar ciptaan Allah S.W.T... Alhamdulillah diucapkan.

Pertama sekali, saya ingin memohon maaf atas kelewatan mengemaskini blog ini. ini merupakan kali kedua saya melakukan kesilapan ini. Mohon maaf atas segalanya.

Baiklah, hari ini kita akan berbicara mengenai kerja. Menurut Imam At - Tirmizi R.A., yang telah memulakan satu bab di dalam kitabnya yang masyhur dengan tajuk "Memulakan Perniagaan Di Awal Pagi' di dalam bab itu satu hadith telah diriwayatkan perihal Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda: "Bangunlah pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan - keperluan mu, sesungguhnya pada awal pagi hari terdapat berkat dan keuntungan." (At -Tabrani dan Al - Bazzar) Sakhar R.A meriwayatkan Jika Baginda mehu menghantar Pasukan Tenteranya keluar, Baginda akan menghantarnya di awal pagi. Demikian juga Sakhar R.A sendiri jika mahu berdagang maka akan menghantar rombongan dagangannya pada waktu pagi. Dengan amalan sebegini Sakhar R.A telah memperolehi keuntungan yang berlipat kali ganda dan berjaya mengumpulkan harta yang banyak.

Itulah serba sedikit mengenai keberkatan di pagi hari. Banyak kebaikannya. Seelok -eloknya kita apabila sesudah solat Subuh, janganlah tidur sekali lagi... Lebih baik kita bangun dan melakukan kerja - kerja yang berfaedah... betul tak? jogging, bekerja, berkebun dan sebagainya.

Orang - orang tua pun pernah cakap jangan tidur balik nanti rezeki kurang... betul tak?

Inilah salah satu cara / amalan kehidupan yang elok di sisi Islam.

Baiklah setakat ini sahaja pada minggu ini, ilmu yang dapat saya kongsi dengan anda semua. InsyaALLAH minggu hadapan saya akan menceritakan mengenai ilmu yang lebih menarik.

Semoga kita dapat manfaat dari ilmu ini walaupun ianya ringkas namun padat. Akhir sekali, terima kasih dan mohon maaf pada semua dan jumpa lagi , Assalamualaikum...

Ketenangan adalah salah satu daripada keimanan

29 Mei 2009


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang sudi mengunjungi blog nawaitudihatiku ini...

Pertama sekali saya ingin meminta maaf atas kelewatan saya mengemaskini blog saya. Baiklah minggu ini kita akan membincangkan mengenai "ketenangan adalah salah satu daripada keimanan".

Yang dimaksudkan dengan ketenangan hati dan ketenteraman jiwa berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: "(Iaitu) orang - orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah. Ingatlah (bahawa) dengan mengingati Allah itu, tenteramlah segala hati. (Ar - Ra'd: 28)

Saya ingin bertanya adakah anda mengingati Allah? Adakah hati anda tenang dan tenteram?

Jika hati menjadi tenang dan jiwa turut mengalami ketenteraman, maka manusia pasti dapat merasakan kelazatan beristirehat dan juga nikmat keyakinan dalam kalbu.

Di samping itu, ia akan berani menanggung segala kesusahan dan kesengsaraan dengan sikap yang berani. Ia akan tabah menghadapi segala mara bahaya walau sebesar mana dan dahsyat yang melanda.

Sementara itu, ia juga yakin bahawa pertolongan Allah pasti akan dihulurkan kepada dirinya. Kerana hanya Dia Yang Maha Kuasa untuk membuka segala pintu yang tertutup dan membuka segala jendela yang terkunci.

Dengan kepercayaan yang sedemikian, maka tidak mungkin ia akan dihinggapi penyakit kesedihan, penyesalan ataupun rasa ingin mengundur ke belakang. Apatah lagi rasa berputus asa. Maka sifat itu sama sekali tidak terdapat di dalam kalbunya.

Maka saya ingin bertanya pada anda dan diri saya, adakah kita mengingati Allah? adakah kita dapat merasa ketenangan sebegini? jadi sama - sama kita renungkan...

Baiklah, setakat ini saya dapat berkongsi ilmu dengan anda semua dan harapan saya agar kita semua dapat manfaat daripada ilmu ini. Jumpa lagi pada minggu hadapan. Assalamualaikum.

Renung - Renungkan

Tindakan orang Mukmin itu adalah;

*Tidak lepas dari akal yang sentiasa berfikir.

*Pandangan yang sentiasa membina.

*Lisan yang sentiasa berzikir.

*Hati yang sentiasa bersyukur.

*Bersungguh - sungguh untuk bersabar dalam bekerja.

Hadith Minggu Ini

Daripada Abu Said Al - Khudri r.a, dari Nabi S.A.W, Baginda telah bersabda (maksudnya) "Mana - mana orang mukmin yang memberi makan kepada seorang mukmin semasa ia lapar, nescaya Allah memberi makan kepadanya pada hari kiamat dari buah - buahan Syurga; dan mana - mana orang mukmin yang memberi minum kepada seorang mukmin semasa ia dahaga, nescaya Allah memberi minum kepadanya pada hari kiamat dari minuman Syurga yang tersimpan sebaik - baiknya; dan mana - mana orang mukmin yang memberi pakai kepada orang mukmin semasa ia memerlukan pakaian, nescaya Allah memberi pakaian kepadanya dari pakaian Syurga."

(Riwayat At - Tirmidzi)

Its me

Its me
Diantara beribu Kenangan

Luahan Strawberinya Hati

For the rest of my life...

Tentang Diriku

My photo
Dilahirkan pada 05 September 1985, di Kuala Lumpur. Orang KL berdarah Kelantan sebab mama abah orang Kelantan ;) Seorang yang sukakan kesederhanaan, ringkas. Susah difahami sukar dijangka. Kini ingin mengapai cita - cita dan Bintang Hati