Mukadimah

Assalamualaikum dan salam sejahtera, pembuka bicara. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan beribu - ribu terima kasih kerana sudi mengunjungi blog saya. Tak kenal maka tak kenal. Jadi saya perkenalkan diri saya: Ariff Mahmood Ariffin. Di ruangan ini, sudi kiranya saya berkongsi dengan anda semua mengenai ilmu agama Islam, perasaan strawberinya hati, karya imaginasiku, dan secebis pengalaman. Dan laman web ini, akan dikemaskini setiap hari Jumaat untuk berkongsi ilmu, topik dan perkara yag berlainan setiap minggu. Selain itu, di ruangan ini juga adalah tempat kita berkomunikasi, berinteraksi. Jadi, apa tunggu lagi, Jom kita serbu laman web ini... ahhak

Ketenangan adalah salah satu daripada keimanan

29 Mei 2009


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang sudi mengunjungi blog nawaitudihatiku ini...

Pertama sekali saya ingin meminta maaf atas kelewatan saya mengemaskini blog saya. Baiklah minggu ini kita akan membincangkan mengenai "ketenangan adalah salah satu daripada keimanan".

Yang dimaksudkan dengan ketenangan hati dan ketenteraman jiwa berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: "(Iaitu) orang - orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah. Ingatlah (bahawa) dengan mengingati Allah itu, tenteramlah segala hati. (Ar - Ra'd: 28)

Saya ingin bertanya adakah anda mengingati Allah? Adakah hati anda tenang dan tenteram?

Jika hati menjadi tenang dan jiwa turut mengalami ketenteraman, maka manusia pasti dapat merasakan kelazatan beristirehat dan juga nikmat keyakinan dalam kalbu.

Di samping itu, ia akan berani menanggung segala kesusahan dan kesengsaraan dengan sikap yang berani. Ia akan tabah menghadapi segala mara bahaya walau sebesar mana dan dahsyat yang melanda.

Sementara itu, ia juga yakin bahawa pertolongan Allah pasti akan dihulurkan kepada dirinya. Kerana hanya Dia Yang Maha Kuasa untuk membuka segala pintu yang tertutup dan membuka segala jendela yang terkunci.

Dengan kepercayaan yang sedemikian, maka tidak mungkin ia akan dihinggapi penyakit kesedihan, penyesalan ataupun rasa ingin mengundur ke belakang. Apatah lagi rasa berputus asa. Maka sifat itu sama sekali tidak terdapat di dalam kalbunya.

Maka saya ingin bertanya pada anda dan diri saya, adakah kita mengingati Allah? adakah kita dapat merasa ketenangan sebegini? jadi sama - sama kita renungkan...

Baiklah, setakat ini saya dapat berkongsi ilmu dengan anda semua dan harapan saya agar kita semua dapat manfaat daripada ilmu ini. Jumpa lagi pada minggu hadapan. Assalamualaikum.

Membangunkan Jiwa

22 Mei 2009
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang mengunjungi blog ini.

Alhamdulillah, berjumpa kita sekali lagi di minggu yang baru ini dan masih diberikan peluang oleh Allah SWT untuk kita merasai dan menghirup udara ciptaanNya. Alhamdulillah.

Baiklah, hari ini kita akan berbual mengenai "Membangunkan Jiwa".

Allah SWT berfirman (bermaksud): "Maka Allah telah mengilhamkan pada jiwa (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya." (Surah As - Syams: 8 - 10)

Berdasarkan ayat di atas, Allah menyatakan betapa beruntungnya orang - orang yang membersihkan jiwa. Untuk hati yang bersih, Allah memerintahkan kita supaya menundukkan nafsu kita. Ini kerana nafsu adalah musuh yang menghalang kita dalam proses pembentukan kekuatan jiwa yang bersih.

Nafsu sentiasa ada di hati dan selalu mengajak kita bersifat dengki, tamak, pemalas, pembohong dan pelbagai lagi sifat negatif. Pendek kata nafsu mengajak kita menderhaka kepada Allah SWT.

Melawan hawa nafsu sememangnya sukar, ianya berada di dalam diri kita kerana itu kita perlu melawannya dan menumpaskan nafsu. Nafsu manusia itu ada tujuh peringkat. Sekiranya kita dapat menumpaskan nafsu, kita akan naik ke taraf nafsu yang lebih baik. Begitulah seterusnya sehingga nafsu dapat dipenjara mengikut kehendak Allah. Berikut merupakan tujuh peringkat nafsu:

1. Nafsu Ammarah - nafsu yang sangat menyuruh berbuat jahat dan bangga dengan kejahatannya. Sifat - sifat tercelanya mudah dizahirkan.

2. Nafsu Lawwamah - Tahu berbuat jahat itu salah dengan ilmunya, tetapi masih terlibat dengan kejahatan dan dia akan menyesal kemudian.

3. Nafsu Mulhamah - Sudah terkumpul banyak sifat - sifat baik di dalam jiwanya. Jiwa ini memerlukan kesabaran, tabah dalam mujahadah dan sentiasa bersyukur dengan Tuhan.

4. Nafsu Mutma' innah - Cahaya ketenangan dan keimanan telah meneranginya sehingga jiwanya terlepas daripada sifat - sifat negatif. Pada keadaan ini, ianya dapat bertahan pada tingkat kesempurnaannya. Apabila keadaan ini kekal, tarafnya akan naik lagi.

5. Nafsu Radhiah - Jiwa yang rela terhadap Tihan, berkedudukan di dalam kesejahteraan dan merasa nikmat Tuhan, puas dengan apa yang ada.

6. Nafsu Mardhiah - Jiwanya diredhai Tuhan, Bukti keredhaan Tuhan itu lahir pada akhlaknya yang sangat mulia, mempunyai karamah, ikhlas dan sentiasa mengingati Tuhan.

7. Nafsu Kamilah - Jiwa yang sudah sempurna dalam dasar dan bentuk jiwanya. Jiwa yang berada peringkat tertinggi kesempurnaan seperti yang ada pada Rasulullah SAW.

Sekiranya anda mempunyai ilmu tetapi masih banyak sifat - sifat negatif dalam diri, anda baru berada di taraf nafsu kedua iaitu nafsu Lawwamah. Oleh itu, molek kiranya kita berjuang dan berusaha menundukkan hawa nafsu sehingga anda mencapai taraf nafsu Mutma' innah. Di peringkat ini, jiwa anda kekal dalam ketenangan dan jauh daripada sifat - sifat negatif. Pada taraf ini, anda akan selamat di dunia dan lebih - lebih lagi di akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai jiwa yang tenang (mutma' innah), kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai..." (Surah Al - Fajr: 27 - 30)

Baiklah kepada semua yang membacanya, saya berharap untuk saya dan anda semua dapat mempelajari sesuatu dan manfaat daripada ilmu ini. Dan akhir sekali, apabila kita melakukan sesuatu keputusan atau melakukan sesuatu perbuatan, kita haruslah berlandaskan akal fikiran dan bukannya mengikut hawa nafsu. Kerana hawa nafsu dapat memesongkan kita dan mengalakan kita membuat sesuatu yang tidak elok. Waallahu' alam.

Berjumpa kita sekali lagi di minggu hadapan. Assalamualaikum.

Amalan ketika kita sakit

15 Mei 2009

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua rakan - rakan, muslimin dan muslimat.

Baiklah, tajuk kita pada kali ini ialah amalan ketika sakit. Semua orang akan merasai kesakitan termasuk saya. Di dunia ini, bermacam jenis sakit atau penyakit yang kita ketahui. Namun kita masih tidak menyedari kenapa kita sakit. Ini kerana ada hikmahnya.

Sakit itu adalah antara tanda - tanda maut ataupun ajal sedang mengintai - ngintai menunggu arahan Rabbul Jalil untuk mencabut nyawa manusia. Kehadiran maut ataupun ajal itu kerapkali didahului dengan sakit. Bagi orang ynag mengaku beriman dengan Allah SWT, sakit itu adalah rahmat baginya kerana Allah dekat dengan dirinya, ataupun menganggap ia sebagai cobaan dan ujian Allah untuk meningkatkan iman.

Tetapi jarang sekali orang memahami bahawa sakit itu perlu dihayati dengan menambahkan lagi amalan - amalan yang mampu meningkatkan ketaqwaan di sisi Allah SWT.

Apakah amalan itu? Antaranya ialah:

1. Sentiasa berzikir ketika sakit.
2. Jangan buruk sangka kepada sesama manusia apatah lagi Allah SWT.
3. Sentiasa membaca Surah Al - Mulk (sebagai pendinding seksa kubur).
4. Banyakkan Istighfar.
5. Sabar dengan ujian Allah.
6. Jangan mengeluh ketika sakit.
7. Berzikir bila teringin untuk tidur.
8. Sentiasa usahakan dalam keadaan berwudhuk.
9. Segera berwasiat kepada waris. (apabila sakit tenat)


Itulah dia, sedikit sebanyak yang saya dapat kongsikan ilmu ini bersama anda semua. Semoga anda semua dapat manfaat dari ilmu ini. InsyaALLAH, Berjumpa lagi di minggu hadapan dengan tajuk yang lebih menarik untuk menambahkan ilmu kita semua.

Setiap kejadian ada hikmahnya. Waallahualam.

Assalamualaikum.

Mampukah kita menjamin umur masih panjang?

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua... bertemu sekali lagi di minggu yang baru... Alhamdulillah, kita masih lagi dapat menghirup udara ciptaan Allah SWT...

Sedarkah kita? kita sebenarnya semakin kekurangan masa di dunia ini... adakah anda telah lakukan perkara - perkara yang sewajarnya? saya juga bertanya pada diri hati nurani saya...

Wahai kaum Muslimin dan Muslimat yang saya kasihi sekalian,

Sanggupkah kamu beralasan tidak mahu mengerjakan amal kebaikan dan mentaati segala suruhan Allah ketika umur masih muda remaja?

Apakah kamu dapat menjamin umur kamu atau mampu memanjangkan umur kamu walaupun sesaat?

Adakah kamu juga tahu atau seseorang telah memberitahu kepadamu bila kamu akan menghadapi kematian?

Jika tidak, boleh jadi kematian akan menjemput kamu bila - bila masa, setahun lagi, sebulan lagi, seminggu lagi, sehari lagi, satu jam kemudian, atau sedetik kemudian.


Wahai kaum Muslimin dan Muslimat yang saya kasihi sekalian,

Kematian tidak hanya mengetuk pintu hati orang yang sedang sakit. Begitu juga orang tua yang sudah lanjut usianya. Tetapi ia juga akan menjemput orang yang masih sihat, orang dewasa dan remaja. Bahkan, bayi yang masih menyusu di pangkuan ibunya...

Fikir - fikirkanlah...

Hari semalam sudah berlalu. Hari ini hari kamu, lakukan perkara yang sewajarnya. Hari esok belum pasti ada.

Baiklah, setakat ini sahaja topik pada kali ini... InsyaALLAH pada minggu hadapan akan saya bincangkan topik yang menarik dan juga akan disertakan salah satu tips penjagaan kesihatan menurut Islam... Assalamualaikum

Renung - Renungkan

Tindakan orang Mukmin itu adalah;

*Tidak lepas dari akal yang sentiasa berfikir.

*Pandangan yang sentiasa membina.

*Lisan yang sentiasa berzikir.

*Hati yang sentiasa bersyukur.

*Bersungguh - sungguh untuk bersabar dalam bekerja.

Hadith Minggu Ini

Daripada Abu Said Al - Khudri r.a, dari Nabi S.A.W, Baginda telah bersabda (maksudnya) "Mana - mana orang mukmin yang memberi makan kepada seorang mukmin semasa ia lapar, nescaya Allah memberi makan kepadanya pada hari kiamat dari buah - buahan Syurga; dan mana - mana orang mukmin yang memberi minum kepada seorang mukmin semasa ia dahaga, nescaya Allah memberi minum kepadanya pada hari kiamat dari minuman Syurga yang tersimpan sebaik - baiknya; dan mana - mana orang mukmin yang memberi pakai kepada orang mukmin semasa ia memerlukan pakaian, nescaya Allah memberi pakaian kepadanya dari pakaian Syurga."

(Riwayat At - Tirmidzi)

Its me

Its me
Diantara beribu Kenangan

Luahan Strawberinya Hati

For the rest of my life...

Tentang Diriku

My photo
Dilahirkan pada 05 September 1985, di Kuala Lumpur. Orang KL berdarah Kelantan sebab mama abah orang Kelantan ;) Seorang yang sukakan kesederhanaan, ringkas. Susah difahami sukar dijangka. Kini ingin mengapai cita - cita dan Bintang Hati